Saturday, December 15, 2012

3 perkara lelaki takuti dengan 3 falsafah

Alhamdulillah setelah melalui 13 minggu menyambung pengajian yang tertunda, mama merasakan cukup berbaloi dengan segala susah-payah kita semua. Walaupun mama pergi bertongkat dan melalui perjalanan yang sukar dari Tg Malim ke Serdang kerana menahan sakit kaki dan lain-lain, namun mama rasa minda mama cukup terisi dan mendapat ilmu yang sungguh bagus daripada PM Dr. Zaitulazma. Subjek metodologi kajian kualitatif BBM 6402 yang merupakan subjek wajib pelajar dr falsafah benar-benar memahamkan mama tentang falsafah yang dicari melalui kajian. Inilah yang ingin mama kongsikan dengan analogi yang cukup mudah yang berlaku pada minggu ini dalam kelas ini. Komen Sahrul ini timbul apabila Dr Zaitul ceritakan tentang kepanikan pelajar menjawab soalan semasa viva (ujian lisan) menyebabkan pelajar diberi minor atau major. Sahrul lalu mencelah:
Sahrul: Dr, ada 3 perkara yang paling orang lelaki takuti : iaitu
Pertama sewaktu kena bersunat,
Kedua sewaktu nak akad nikah kali pertama dan
Ketiga ketika nak viva..
Dr dengan spontan menjawab:
Dr. Zaitul: Pengalaman sayalah sebagai seorang ibu kepada anak lelakilah 3 perkara yang lelaki bimbangnya ialah :
Pertama bagaimana nak memikul tanggungjawab lelaki berkhidmat kepada ibunya setelah ibu semakin berusia.
Kedua bagaimana nak memandu keluarga yang baru dibina iaitu isteri dan anak-anak ke jalan yang benar. dan
Ketiga  bagaimana nak menerima tanggungjawab sebagai khalifah Allah

Sekali dengar mama dan kawan-kawan sekelas gelak je pada Sahrul..tapi bila balik rumah baru mama terfikir tentang jawapan dr Zaitul rupanya merupakan falsafah daripada apa yang diperkatakan oleh Sahrul iaitu KENAPA lelaki takut semua itu?

FALSAFAHnya ialah:
1. sunat (yang dimaksudkan ialah sunat 12 tahun budak lelaki Melayu) merupakan langkah menuju kedewasaan, umur baligh dan tentutanya tanggungjawab yang perlu dipikul..

2. akad nikah merupakan langkah untuk menghalalkan hubungan dengan seorang perempuan yang tidak dibenarkan sebelum ini, merupakan langkah untuk membina keluarga sebagaimana yang diredhai oleh Allah SWT.

3. viva merupakan langkah untuk lulus pengajian peringkat tinggi di mana ilmu yang digunakan dituntut untuk menjadi khalifah di muka bumi ini..

Itulah perkaitannya. Sungguh cepat dr menjawabnya..masyaAllah..ini menunjukkan kematangan beliau berfikir dan ketajaman minda yang sentiasa diasah dengan membuat kajian dan mengajar murid-murid tentang falsafah.. Bilalah mama nak capai pada tahap ini? Sungguh kerdil rasanya diri..
Ya Allah berikanlah keberkatan ilmu pada kami dan Engkau peliharalah Dr zaitul guru kami dunia dan akhirat dan berikan dia kesihatan yang baik sehingga dapat lagi dia lahirkan lagi hamba-hambaMu yang hebat.. Amin..
Ya Allah Engkau rahmatilah keluargaku yang telah banyak menyokongku.. suamiku yang bersusah payah menjagaku sewaktu sakit dan memberi sokongan penuh menuntut ilmu.. engkau permudahkanlah jalannya dalam segala urusannya,, dan anak-anakku yang bersabar dengan ujian ini engkau lapangkanlah dada mereka dan isikan dengan hikmahMu menjadikan mereka khalifahMu dibumi ini..