Saturday, November 7, 2009

kanak-kanak pintar

16.4.07

Kanak-kanak Melayu-Irish tujuh tahun lulus Kimia O-Level

<== Ainan Celeste Cawley
SINGAPURA 15 April – Pada Januari lalu, Ainan Celeste Cawley, 7, menduduki peperiksaan mata pelajaran Kimia peringkat O-Level sebagai calon persendirian dan mengejutkan empat remaja yang mengambil peperiksaan itu bersamanya.

Keputusan empat calon lain itu tidak diketahui, namun Ainan baru-baru ini mendapat tahu yang dia lulus dalam peperiksaan tersebut.

Ainan yang berdarah Melayu-Irish dipercayai satu-satunya kanak-kanak yang memiliki kebolehan luar biasa ini, pelajar kimia cemerlang paling muda yang pernah direkodkan.

Ibunya, Syahidah Osman Cawley berkata, anak lelaki sulung kepada tiga beradik itu langsung tidak menyentuh buku teks O-Level sehingga 18 Julai lalu.

‘‘Ainan menduduki peperiksaan mata pelajaran Kimia O-Level pada 18 Januari lalu iaitu enam bulan kemudian di British Council sebagai calon persendirian,’’ katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Syahidah berkata, sejak kecil, Ainan - cucu kepada Sabariah Abdul Wahab, 50, dari Parit Yaani, Johor - akan mencari buku-buku sains di perpustakaan, jelas menunjukkan minatnya pada buku-buku tebal, yang penuh dengan gambar-gambar mengenai sains kimia kompleks.

‘‘Semua ini akan direnungi dan difahaminya terlebih dahulu sebelum dia membuat komen mengenainya kemudian,’’ katanya.

Bapa Ainan, Valentine Muhammad Cawley, 39, bekas ahli fizik, bagaimanapun tidak terkejut dengan minat Ainan terhadap sains itu.

“Ainan suka membaca buku sains dan selepas membacanya, dia menggunakan Internet untuk melakukan penyelidikan lebih lanjut,’’ kata Cawley yang merupakan Ketua Jabatan Bahasa Inggeris di Linguaphone Education, Singapura.

Semasa berumur tiga tahun, Ainan meminati bentuk-bentuk hyper-dimensional dan kemudiannya berkembang kepada minat terhadap struktur molekul semasa dia diperkenalkan kepada bidang kimia di Internet.

‘‘Dia hanya diberi buku pengajian kimia pada usia enam tahun untuk dibaca. Dia terus duduk, membaca teks itu dan memberitahu yang dia faham kandungannya,’’ kata Syahidah.

Cawley berkata, langkah selanjutnya buat Ainan ialah membuat persiapan menghadapi peperiksaan peringkat A-Level tahun ini.

Perkembangan kemajuan Ainan, serta dua saudaranya - Fintan, 3, dan Tiarnan, 15 bulan, - kini direkodkan dalam blog http://www.scientific-child-prodigy.blogspot.com. – Bernama