Sunday, January 29, 2012

Antara sekolah tahfiz dan Kelas Aliran Agama

Alhamdulillah akhirnya Farha dapat juga panggilan ke SMKA Slim River. Walaupun impian Mama untuk melihat kakak ke sekolah bawah kerajaan negeri yang menawarkan tahfiz dan Azhariah, Mama redha dengan qadha yang telah ditentukan untuk kakak. Sememangnya Mama tidak menjangka begitu susah sekali sekarang untuk memasuki sekolah SARJANA atau SMA Taayah di Ipoh berbanding 2 tahun yang lalu. Kebanyakan ibubapa telah berkesedaran pendidikan agama amat penting, oleh itu masing-masing berebut untuk mendapatkan tempat di sekolah seperti itu.

Kerajaan negeri Perak bukan sahaja makin menambah sekolah-sekolah kelolaannya seperti mewujudkan sekolah menengah tahfiz Darul Ridzuan di setiap daerahnya seperti di Kerian, Lenggong, Batang Padang dll, bahkan memberi pelajar-pelajarnya biasiswa untuk tahfiz. Pada tahun ini katanya 1600 pelajar memohon dan hadir temuduga dan hanya 600 tempat sahaja yang boleh diambil setelah menjalankan temuduga tahfiz kepada mereka. Ramai yang tidak terpilih walaupun mendapat 5A. Ibubapa pula sanggup menghantar ke sekolah tahfiz ini walaupun ada yang bangunan tidak siap pun lagi dan terpaksa menumpang di rumah DO.

Walaupun kakak tak ada rezeki ke sekolah yang Mama harapkan kurang-kurangnya kawan karib kakak Fatin Adriana dapat pun Mama turut tumpang gembira untuknya. Mama yakin ada rezeki kakak di tempat lain yang Allah SWT kehendaki. Sebab itu Mama berusaha bersungguh-sungguh membuat rayuan ke JAIPk dan juga JPN yang menawarkan kelas aliran agama (KAA) dan SMKA. Mama juga buat muka tak malu menelepon berkali-kali kepada mereka kerana bagi Mama kakak berhak mendapat yang terbaik dan lebih baik dari sekolah agama rakyat Maahad al-Taufiqiyah al-Diniyah. Ini kerana mama mahu lihat kakak meneruskan kecemerlangan kakak seperti sebelum ini.

Mama tahu kakak sudah mula menyukai MTD dan mendapat kawan-kawan yang baik-baik disana. Sekolah itu juga tidak kurang hebatnya walaupun hanya SAR tetapi mempunyai kurikulum yang baik dan turut menawarkan tahfiz dan Azhariah. Cuma mungkin prasarananya yang baru membangun dan hanya mempunyai satu kelas bagi setiap tingkatan disamping guru-guru yang tidak tetap itulah mungkin tidak memberi cabaran kepada kakak yang Mama rasa kakak perlukan untuk menjadikan suasana ilmu lebih hidup..Mama percaya sekolah ini akan membangun dalam setahun dua lagi dan mungkin akan hantar Nisreen ke situ kerana ia dekat sahaja (15 min) dengan rumah kita. Pertemuan dan perpisahan itu adat manusia, harap kakak redha dengan pilihan ini.

SMKA Slim River mungkin antara sekolah agama tertua kerajaan berbanding dengan yang ada di Seri Iskandar dan Kerian (kalau tidak silap). Prestasinya Mama kurang arif. Pengajian tidak dalam bahasa Arab. Matapelajaran Feqah, Tauhid, Sirah dll digabungkan dalam pengetahuan Islam dan hanya ada Bahasa Arab tinggi yang membezakannya dengan sekolah menengah biasa. Tiada lagi tahfiz diperkenalkan dan mungkin akan ada nanti. Namun Mama harap kakak tetap mengambil berat dengan subjek BA kerana bagi Mama belajar bahasa Arab adalah fardu ain demi memahami 2 sumber kitab agama iaitu Quran dan Sunnah. Mama juga berharap kakak akan dapat menyambung tahfiz sendirian kerana ia penting sebagai benteng diri dan juga kelak dimasa hadapan di peringkat universiti juga menuntut hafazan sekurang-kurangnya 5 juzu'. Walaupun dengan segala kekurangan ini mama perhatikan bekas-bekas pelajar SMKA turut berjaya di peringkat universiti seperti Dr. Asri Zainal Abidin, Ustaz Erfino dan ramai lagi bekas pelajar Joedan yang disegani berasal dari SMKA. Jadi Mama dan abah buat kesimpulan mungkin tarbiah disini agak baik kepada para pelajarnya. Semoga Allah SWT memberi laluan ini kepada kakak.

Selamat belajar dan belajarlah bersungguh-sungguh. Jadikan apa yang berlalu pengajaran yang berguna dalam hidup..Moga Nisreen dan Ibtisam juga diberi peluang yang baik untuk mendapatkan ilmu dunia dan akhirat.