Perjalananku

Mukaddimah
Bahagian 1: Dugaan besar
4 Dugaanku yang aneh:
Jantung berlubang
Placenta pecah
Syringomelia dan tumor
Keguguran

Bahagian 2: Kenangan indahku
Sewaktu kecil
Sewaktu menuntut di Jordan
Alam perkahwinan
Bergelar ibu
Memasuki alam kerjaya


Bahagian 3: Selamat tinggal duniaku
Dunia Fatamorgana
Pelajaran dan pengajaran (sakit, dunia Sudan)
Visi Akhirat
Hak penciptaku

Bahagian 4: Harapanku
Suamiku
Zuriatku
Keluargaku
Anak didikku
Teman-teman seperjuangan

Cerita Penuh:

Mukaddimah
Kutuliskan buku ini ialah sebagai memoir yang kusuratkan untuk menjadi panduan dan teladan kepada generasi akan datang terutamanya zuriat dan keluargaku. Pada asalnya ia merupakan cebisan-cebisan nota diariku, juga yang ditaip dan disimpan dalam windows berbentuk hard disk selain dari tulisan dalam blogku bertajuk Warisan Bonda, juga tulisan yang pernah disiarkan oleh majalah Tunas Cipta. Kesemuanya kuadun semula dengan lebih teratur supaya dapat diambil pengajaran dari kisah hidup benar ini.

Kisah hidup walaupun tidak akan berulang pada orang lain keseluruhannya namun sedikit sebanyak yang dilalui ini juga turut ditempuhi individu lain secara disedari atau tidak. Oleh kerana itulah Kitab al-Quran juga meriwayatkan kisah-kisah orang terdahulu terutamanya tentang para anbiya dan solihin selain dari orang-orang yang engkar lagi kufur supaya dijadikan teladan dan iktibar kepada generasi akan datang.

Kisah hidupku ini juga secara tidak langsung menceritakan tentang kesan cara hidup dan tarbiah di Malaysia yang mempunyai kebaikan dan keburukannya.

Selain dari itu ia juga panduan untuk kembali kepada fitrah asal manusia yang tunduk patuh kepada Tuhannya yang Esa melalui pengabdian yang sebenarnya.