Wednesday, May 6, 2009

Puteri Ibtisam


Nama: Ibtisam bt Taj Rijal
Tarikh lahir: 28 Februari 2004
jam : lebih kurang jam 9 malam
berat: 2.3 kilo



Kelahiran Ibtisam istimewa. Ibtisam keluar terlalu awal daripada jangkaan menyebabkan doktor mengklasifikasikan Ibi sebagai pra-matang. Ketika itu, kandungan baru berusia 35 minggu, iaitu 8 bulan setengah. Oleh itu Mama lahirkan Ibi hanya seberat 2.3 kilo sahaja dan terpaksa di tahan di wad. Semasa hamil kepada Nisreen dulu, doktor dapat mengesan mama mengidap jantung berlubang. Jantung itu masih bersaiz kecil dan kurang dari diameter duit 5 sen. Mama perlu membuat tampalan segera, namun sehingga saat melahirkan anak keempat ini mama masih tidak hiraukan nasihat doktor. Doktor menyalahkan mama dalam hal ini dan mengatakan mama tidak sehat semasa mengandungkan Ibi menyebabkan kesan kepada anak yang mama kandung. Mama berdoa moga Allah memudahkan urusan kita dan menjauhkan diri kita semua dari semua yang memudaratkan. Selepas ini mama berharap dapat membuat tampalan dengan rezeki yang Allah kurniakan ini.


Lebih seminggu Ibi berada di wad dan hari-hari mama terpaksa berendam air mata melihatkan Ibi yang terpaksa dicucuk di jari kaki atau lengan untuk dimasukkan antibiotik kerana ada jangkitan di paru-paru atau paru-paru berair. Kesian sungguh mama tengok Ibi yang masih kecil meraung-raung ketika diberi suntikan. Namun akhirnya semua itu berakhir, dan Mama membawa Ibi pulang ke Indrapura. Wan datang menolong mama sekejap, tetapi seminggu selepas itu Wan terpaksa pulang ke kampung. Oleh itu Mama berpantang sendiri dengan abah sahaja, dibantu jiran-jiran terutamanya Chek Nab yang selalu tolong masak dan menguruskan anak-anak Mama yang lain. Dua minggu kemudian Chek Su yang baru bercuti dari universiti pula datang menolong. Tapi, berpantang sendiri menyebabkan Mama banyak bergerak dan Mama lambat baik dan kerap demam sejuk. Masa berpantang dirasakan begitu lama, namun melihatkan Ibi yang membesar dengan baik dan semakin berat sungguh menggembirakan mama. Ibi banyak memberikan senyuman dan motivasi kepada Mama sesuai dengan nama yang mama berikan!

Seperti anak mama yang lain, ibi juga lambat tumbuh rambut, tetapi cepat pula berkata-kata dan berjalan. Cukup setahun dah berjalan rata. Kita tidak lama rupanya di Indrapura. Masa Ibi hampir 2 tahun, kita pindah lagi. Kali ni nun jauh di Pantai Barat. Tak sangka juga kita akan pindah kerana kita cukup gembira bersama jiran-jiran selorong seperti Chek Zon, Chek Ita, Chek Milah Su, juga Chek Nab dan jiran lorong 1 dan lain-lain. Kita selalu duduk berkumpul makan petang di rumah Chek Zon. Mama dengan mak-mak. Anak-anak main sama anak-anak. Ingat tak nama-nama mereka? Mama pun dah lupa kebanyakannya tapi ingat Mimi sebab dia sempat khatam mengaji dengan mama. Yang lain tu semua hanya sempat ngaji buku Iqra' sahaja. Mama ingat juga anak-anak kak Milah yang rajin datang mengaji walaupun selalu kena betulkan sebutan. Mama doakan mereka semua menjadi anak yang soleh dan selalu mengaji Quran walaupun bukan mama lagi yang membimbing mereka. Mungkin juga hijrah ini membawa rahmat kepada kita.

Di Tanjong Malim, Perak, suasana sungguh berbeza. Kita tidak ada pula jiran untuk bersembang-sembang. Sunyi sungguh rasanya. Sekali-sekala ada juga berbual dengan Chek Ina dan anak-anaknya Fikah dan Mizan yang duduk selang sebuah rumah. Mama juga selalu bawakan Ibi dan Yin ke taman atas bukit di Kota Malim sambil jalan-jalan waktu petang. Di taman inilah Mama jumpa dengan Chek Ita dan Chek Min. Di samping itu, mama juga berusaha berbagai cara untuk mengubat jantung berlubang. Antaranya dengan Dr. Abd Aziz (Allahyarham) yang membuat pembedahan secara ghaib (?) di kliniknya di Cheras. Dia mengajar Mama membaca zikir-zikir tertentu. Mama juga berubat di Lenggong dengan Pak Ngah (juga Allahyarham) yang membuat perubatan kampung dan menasihatkan makan hati lembu bakar dan akhirnya dengan biaya sepenuhnya daripada UPSI mama membuat tampalan jantung di IJN. Mama berharap dengan perawatan ini mama menjadi lebih sehat untuk menjaga anak-anak mama yang tengah membesar dan memerlukan perhatian mama ini.

No comments: