Wednesday, May 6, 2009

Puteri Syahidah

Nama: Syahidah bt Taj Rijal

Lahir: 28 Februari 2007, HSR, Tanjong Malim.

Berat : 1.5 kilo

Walaupun meninggal ketika lahir, Syahidah tetap anak mama. Syahidah lahir tidak cukup bulan, tetapi Syahidah cukup sifatnya dan ialah seorang bayi yang kecil. Hanya 5 bulan setengah dalam kandungan iaitu dalam 21 minggu sahaja. dalam rekod kesihatan pernah dilahirkan hidup seorang bayi berusia 22 minggu. Berita itu kelahiran itu baru je mama dengar dari tv sebelum melahirkan Syahidah, dan mama berharap sangat anak mama dapat bertahan selama itu dalam keadaan baik, namun hikmah Allah tidak kita ketahui, oleh itu mama redha Syahidah pergi terlebih dahulu.

Peninggalan Syahidah merupakan rentetan dari pelbagai peristiwa yang merupakan kenangan pahit dalam diari kehidupan mama. Sebelum Syahidah, mama ada kandungan lain di awal 2006, namun mama mengalami keguguran selepas 3 bulan hamil. Selepas membuat cucian rahim dan makan pil subur, mama hamil lagi selepas 3 bulan membuat cucian yang mana sebenarnya tidak baik untuk kesihatan ibu. Tetapi inilah rezeki yang Allah Ta'ala berikan yang disertai dengan dugaan hidup mama. Hamil kali ini pula amat berbeza kerana disahkan oleh doktor kembar tiga yang berlainan uri. Subhana'Llah. Bukan satu tetapi tiga. Namun kandungan mama tidak kukuh, kerana rahim mama masih tidak kuat dan belum sembuh betul selepas membuat cucian. Ini menyebabkan keguguran satu demi satu kembar-kembar tersebut. Pada mulanya selepas dua bulan setengah, kemudian dua minggu berikutnya, satu lagi gugur dan tinggal Syahidah sahaja yang dapat bertahan. Itu pun, ketika berusia 4 bulan dalam kandungan, air ketuban telah bocor dan Syahidah kekeringan dalam perut. Walaupun berulangkali dimasukkan air tiruan namun hanya 21 minggu sahaja Syahidah dapat bertahan. Pada malam 27 hb Februari lebih kurang jam 10 malam, mama dah mula rasa nak bersalin, tapi mama masih bertahan hingga pukul jam 1 pagi, baru mama kejutkan abah untuk ke hospital. Tidak lama sampai di Hospital Slim River, pada jam 2 am Syahidah keluar dalam keadaan kaku. Doktor sahkan Syahidah baru meninggal saat hampir keluar dan tidak mati dalam perut. Cerita ini cukup menyentuh hati mama dan mama abadikan dalam cerpen bertajuk "Permata yang berguguran" dan disiarkan oleh Dewan Sastera dalam ruangan tunas cipta pada September 2008.

Mungkin peninggalan Syahidah besar hikmahnya, mama berharap mendapat syafaat daripadamu kelak.

No comments: